22/08/2026
UJIAN KENAIKAN BENGKONG PSSPGM 2026 PERINGKAT CAWANGAN SEMENYIH
22 Ogos 2026, Semenyih - Pertubuhan Seni Silat Pusaka Gayong Malaysia cawangan Semenyih telah mencatatkan satu mercu tanda kejayaan yang amat membanggakan apabila berjaya menganjurkan Ujian Kenaikan Bengkong Pusaka Gayong berskala besar yang berlangsung dalam suasana penuh gilang-gemilang, tertib, dan beradat bertempat di Gelanggang Al-Mukhlisin selaku gelanggang tuan rumah bagi edisi kali ke-6 pada tahun ini.
Program yang dinantikan ini telah menjadi medan perhimpunan raksasa bagi anak-anak gayong apabila berjaya mengumpulkan seramai dalam 300 orang peserta secara keseluruhan. Kehadiran para pesilat yang amat luar biasa ini merupakan hasil cetusan komitmen dan semangat penyatuan daripada 4 buah gelanggang gabungan di bawah seliaan zon ini, yang merangkumi para pesilat dari Gelanggang Al-Mukhlisin Taman Pelangi Semenyih 2, Gelanggang Studio PGS Kesuma, Gelanggang Eksklusif & Srikandi, serta Gelanggang Bangi Avenue. Kehadiran ibu bapa, waris, dan penyokong yang memenuhi ruang legar turut menaikkan lagi amarah semangat para peserta untuk mempamerkan prestasi yang terbaik.
Seawal jam 8.00 pagi, pekarangan Gelanggang Al-Mukhlisin telah mula bergema dengan paluan dramatik dan laungan penuh bersemangat sejajar dengan slogan rasmi pertubuhan, “Tegap Menapak, Teguh Menjulang”. Sesi ujian ini dijalankan dengan penuh teliti dan sistematik bagi menilai tahap penguasaan silibus, ketangkasan fizikal, ketahanan mental, serta pemahaman adat persilatan para peserta yang menduduki pelbagai peringkat ujian bengkong. Antara peringkat kelayakan yang diuji pada hari ini termasuklah peringkat asas iaitu Pra Putih, diikuti dengan siri Putih Cula Hijau, Putih Cula Merah, Putih Cula Kuning, Putih Cula Hitam, sehinggalah ke peringkat menengah iaitu Pra Hijau dan juga Hijau Cula.
Apa yang menjadikan ujian kenaikan bengkong pada kali ini lebih bermakna dan berprestij ialah kehadiran barisan kepimpinan dan panel penguji tertinggi dari peringkat PSSPGM Pusat serta negeri yang sudi turun padang demi memastikan kualiti dan mutu standard seni mempertahankan diri ini sentiasa dipelihara. Sesi penilaian, telah dihadiri serta dikendalikan secara langsung oleh barisan tertinggi yang diketuai oleh TG Mohd Samsunputra Bin Dato' Abdul Majid (Presiden PSSPGM Pusat), TG Haji Fadzil (Pengerusi Majlis Syura), TG Azrul Affandi Bin Sobry (Timbalan Presiden PSSPGM Pusat), dan TG Khairul Faiz Bin Ahmad (Ketua Gurulatih Pusat) selaku barisan penguji dari PSSPGM Pusat bersama Ketua Gurulatih Pusat serta Ketua Adat Pusat.
Turut menyemarakkan majlis ialah kehadiran TG Anuar Bin Abd Rahman (Yang Di Pertua Negeri Selangor) dan Guru Muhammad Firdaus Ismail (Pengerusi Majlis Gurulatih Selangor), serta sokongan tidak berbelah bahagi daripada semua barisan Gurulatih dan Jurulatih Selangor yang hadir memantau anak-anak didik mereka. Kehadiran tokoh-tokoh utama ini bukan sahaja memberikan satu pengiktirafan yang tinggi kepada penganjuran di peringkat zon Semenyih, malah menyuntik motivasi yang tidak berbelah bahagi kepada para pesilat untuk mempersembahkan gerak silat yang kemas, tangkas, dan memenuhi falsafah Pusaka Gayong.
Majlis diakhiri dengan upacara penyampaian amanat dan sesi penutup yang berjalan penuh khidmat. Secara keseluruhannya, ujian kenaikan bengkong ini bukan sahaja berfungsi sebagai platform penilaian akademik persilatan, malah berjaya memperkukuhkan lagi ikatan silaturahim serta ukhuwah dalam kalangan tenaga pengajar, waris, dan anak-anak gayong di sekitar Semenyih dan Bangi serta Selangor. Syabas dan tahniah diucapkan kepada seluruh jawatankuasa penganjur, barisan gurulatih, jurulatih, serta para peserta yang telah menjayakan acara bersejarah ini dengan penuh disiplin serta mengekalkan integriti pesilat yang sejati.