15/08/2026
Kelab Bola Sepak Muafakat Yayasan ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih di atas penganjuran Program Billion Merdeka Fiesta 2026 yang telah berjalan dengan jayanya sebentar tadi.
Penglibatan kelab sebagai rakan kerjasama dalam program ini merupakan satu komitmen berterusan kami dalam menyokong aktiviti kemasyarakatan serta memupuk semangat patriotisme menerusi platform sukan.
Terima kasih kepada pihak penganjur Billion Taman Yayasan dan seluruh komuniti yang hadir memberikan sokongan. Semoga ukhuwah dan kerjasama ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang.
20/04/2026
Tahniah diucapkan kepada pasukan Pineapple Southern Vanguard FC atas kemenangan bergaya dalam aksi pembukaan Liga Puteri FAM (Divisyen 1) 2026
Teruskan momentum kemenangan, teruskan berjuang dengan semangat kesukanan yang tinggi!
Carta Kedudukan Liga Puteri Divisyen 1 2026
Kumpulan A & B
▶️ Selepas Hari Perlawanan 1 pada Ahad, 19 April 2026
▶️ Hari Perlawanan 2 akan berlangsung pada Ahad, 26 April ini.
20/04/2026
TAHNIAH: DUA PERMATA MYFC TERPILIH KE LIGA PUTERI FAM B-16
Kami di Muafakat Yayasan FC (MYFC) dengan penuh rasa bangga ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada dua pemain berbakat kita :
Nur Aqilah Batrisyia binti Normuradi
Aisyah Dafinah binti Imran
Mereka telah terpilih secara rasmi untuk mewakili pasukan PINEAPPLE SOUTHERN VANGUARD bagi mengharungi saingan LIGA PUTERI FAM B-16 2026!
Kejayaan ini adalah bukti dedikasi, disiplin, dan kerja keras yang tidak berbelah bahagi. Semoga pencapaian ini menjadi pembakar semangat untuk terus cemerlang dan seterusnya mengharumkan nama kelab di peringkat kebangsaan.
Selamat maju jaya diucapkan! Tunjukkan taring anda di padang!
04/04/2026
AKSI PENENTUAN: PERLAWANAN AKHIR & MISI KE LIGA PUTERI FAM B-16!
Inilah saat yang ditunggu-tunggu! Padang Lichi, Segamat menjadi saksi pertembungan sengit di pentas Perlawanan Akhir antara:
PILIHAN XI vs ATW JOHOR
Bukan sekadar perlawanan persahabatan biasa, aksi ini merupakan Pemilihan Khas buat bakat-bakat muda daripada ATW Johor untuk menggalas cabaran ke Liga Puteri FAM B-16 2026!
Setiap gelecekan, setiap hantaran, dan setiap jaringan hari ini adalah langkah pertama mereka menuju ke pentas kebangsaan. Siapakah yang bakal mencuri tumpuan barisan kejurulatihan dan membuktikan mereka layak menyarung jersi kebanggaan?
Ayuh, berikan sokongan moral yang paling padu buat pemain-pemain muda kita! Semoga impian mereka untuk beraksi di Liga Puteri FAM menjadi kenyataan.
04/04/2026
BUKAN MAIN-MAIN! AKSI PANAS DI PADANG LICHI!
Tengoklah betapa komitednya pemain-pemain wanita kita hari ini. Tiada istilah 'santai' bila di atas padang!
Antara perebutan bola yang sengit, larian deras, dan tackle bersih, perlawanan persahabatan 3 penjuru melibatkan MYFC, Akademi Tunas Wanita Johor, dan Ledang Warriors Academy benar-benar mendebarkan penonton yang hadir pagi tadi hingga ke tengah hari ini.
Semangat juang tinggi ini yang kita mahu lihat dalam pembangunan bola sepak wanita Johor. Syabas kepada semua pasukan!
04/04/2026
PANAS! BUKAN SAJA CUACA, TAPI AKSI DI PADANG LICHI PUN MEMBARA!
Siapa kata bola sepak ni permainan lelaki saja? Tengoklah kualiti pemain-pemain wanita kita dari MYFC, Akademi Tunas Wanita Johor, dan Ledang Warriors Academy hari ini. Memang masing-masing ada skill yang padu!
Perlawanan 3 penjuru ini betul-betul menguji mental dan fizikal, tapi semangat kesukanan tetap nombor satu. Syabas kepada semua pemain yang telah memberikan 100% di atas padang pagi tadi hingga ke tengah hari ini!
03/04/2026
PERLAWANAN PERSAHABATAN 3 PENJURU: PEMBANGUNAN BOLA SEPAK WANITA
Ayuh warga Segamat! Sokong pemerkasaan sukan bola sepak wanita dalam program khas pembangunan bola sepak wanita Johor dengan kerjasama Segamat FA.
Saksikan aksi hebat daripada tiga pasukan yang akan bertemu hujung minggu ini:
Kelab Bolasepak Muafakat Yayasan (MYFC), Akademi Tunas Wanita Johor & Ledang Warriors Academy
Butiran perlawanan adalah seperti berikut:
Tarikh: 04 April 2026 (Sabtu)
Masa: 8.30 Pagi
Lokasi: Padang Lichi, Segamat
Mari kita turun beramai-ramai bagi memberi sokongan padu kepada atlet-atlet wanita kita dalam memartabatkan mutu bola sepak tempatan!
28/03/2026
Sesi latihan MYFC U18 telah dijalankan hari ini dengan penekanan terhadap struktur permainan, kefahaman taktikal dan intensiti kompetitif.
MYFC terus komited dalam melahirkan pemain berdisiplin, berdaya saing dan bersedia untuk peringkat seterusnya.
Perjalanan ini diteruskan, langkah demi langkah.
19/02/2026
PENDAFTARAN KINI DIBUKA: MYFC FOOTBALL ACADEMY!
Adakah anak anda berbakat dalam bola sepak? Inilah masanya untuk gilap potensi mereka bersama Kelab Bola Sepak Muafakat Yayasan (MYFC)! Kami mencari pemain yang berdisiplin dan mempunyai komitmen tinggi untuk menyertai akademi kami.
INFO PENDAFTARAN:
• Peringkat Umur: 7 hingga 18 Tahun (Lelaki & Perempuan)
• Lokasi: Padang Taman Yayasan
• Yuran Keahlian: RM30 / Setahun
Hubungi Jurulatih Kami:
Coach Syafiq: 011-407272801
Coach Nizam: 016-7069210
17/02/2026
KEJAYAAN ADALAH HASIL KERJA KERAS & DISIPLIN!
Detik-detik indah di Majlis Penyampaian Hadiah Perlawanan Persahabatan Pembangunan Bola Sepak Wanita Johor. Kemenangan 10-4 oleh MYFC Girls adalah bukti keberkesanan program latihan yang dijalankan secara konsisten.
Setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak pengurusan Muafakat Yayasan dan Segamat FA yang sentiasa menyokong perjalanan bakat muda ini. Hadiah yang diterima hari ini bukan sekadar trofi, tetapi simbolik kepada masa depan bola sepak wanita yang lebih cerah.
Teruskan menyinar, srikandi Segamat! Kita bangga dengan anda!