10/08/2026
USM Minden Tiger Tewas Tipis 0-1 Kepada UiTM Kelantan
ARAU, PERLIS — Pasukan USM Minden Tiger terpaksa menerima kekalahan tipis 0-1 kepada UiTM Kelantan dalam aksi Kejohanan Liga Bola Sepak IPT Divisyen 2 2026 yang berlangsung di Padang Rani, UiTM Arau, Perlis.
Perlawanan berlangsung sengit dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan dalam usaha mendapatkan kelebihan. USM Minden Tiger turut mempamerkan beberapa gerakan menyerang yang baik serta mencipta beberapa peluang untuk membuka jaringan namun percubaan yang dihasilkan gagal disempurnakan.
Kedudukan 0-0 kekal sehingga memasuki 15 minit terakhir perlawanan sebelum UiTM Kelantan diberikan sepakan penalti. Kesempatan tersebut dimanfaatkan sebaiknya apabila sepakan penalti berjaya disempurnakan untuk memberikan kelebihan 1-0 kepada pasukan lawan.
USM Minden Tiger kemudiannya berusaha bangkit bagi mencari gol penyamaan namun barisan pertahanan UiTM Kelantan berjaya mengekalkan kelebihan sehingga wisel penamat dibunyikan.
Keputusan tersebut menyaksikan USM Minden Tiger terpaksa akur dengan kekalahan tipis meskipun menunjukkan persembahan yang kompetitif sepanjang perlawanan dan mempunyai beberapa peluang untuk mencipta jaringan.
Pasukan USM Minden Tiger kini akan mengalihkan fokus kepada perlawanan terakhir peringkat kumpulan menentang UiTM Pahang. Aksi tersebut amat penting buat USM dalam usaha menamatkan saingan peringkat kumpulan dengan keputusan positif.
Dengan semangat dan komitmen yang ditunjukkan sepanjang saingan, USM Minden Tiger diharapkan dapat bangkit pada perlawanan terakhir dan memberikan persembahan terbaik demi membawa nama Universiti Sains Malaysia.
09/08/2026
USM Minden Tiger Raih Satu Mata Selepas Seri 1-1 Menentang UMK
ARAU, PERLIS — Pasukan USM Minden Tiger mencatat keputusan seri 1-1 menentang Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dalam saingan Kejohanan Liga Bola Sepak IPT Divisyen 2 2026.
Perlawanan yang berlangsung di Padang Rani, UiTM Kampus Arau, Perlis itu berlangsung sengit dengan kedua-dua pasukan saling memberikan saingan sepanjang perlawanan.
USM Minden Tiger membuka jaringan menerusi Joachim Jan A/L Janly bagi memberikan kelebihan kepada pasukan USM. UMK bagaimanapun berjaya mendapatkan gol penyamaan sebelum tamat separuh masa pertama menjadikan kedudukan 1-1.
Pada separuh masa kedua ketika perlawanan berbaki kira-kira 20 minit, cabaran USM menjadi semakin sukar apabila Muhammad Syakir Bin Rosman dilayangkan kad merah menyebabkan USM terpaksa meneruskan permainan dengan hanya 10 pemain.
Meskipun beraksi dengan kekurangan seorang pemain, USM Minden Tiger tetap menunjukkan disiplin serta semangat juang yang tinggi untuk mempertahankan keputusan 1-1 sehingga wisel penamat.
Keputusan seri itu menyaksikan USM Minden Tiger membawa pulang satu mata daripada perlawanan tersebut dan akan terus memberi tumpuan kepada aksi seterusnya menentang UiTM Kelantan dalam usaha mengukuhkan kedudukan serta meneruskan cabaran dalam saingan Liga Bola Sepak IPT Divisyen 2 2026.
08/08/2026
USM Minden Tiger Bawa Harapan Universiti Sains Malaysia ke Arau
ARAU, PERLIS — Pasukan bola sepak USM Minden Tiger, yang diwakili sepenuhnya oleh mahasiswa Universiti Sains Malaysia (USM), bersedia mengharungi cabaran dalam Kejohanan Liga Bola Sepak IPT Divisyen 2 2026 yang berlangsung di UiTM Kampus Arau, Perlis.
Pasukan diketuai oleh Syed Mohd Fairuz bin Syed Omar Nasiry selaku pengurus, manakala Ahmad Faisal bin Nazari bertindak sebagai jurulatih yang membimbing skuad USM Minden Tiger dengan dibarisi 25 pemain iaitu:
Abu Dzar bin Mohamed Abd Kadir, Joachim Jan a/l Janly, Mohamad Alieff Farhan bin Mohd Fauzi, Mohamed Aiman Haiqal bin Mohamed Shah Ali, Mohd Shaiful Amirul bin Selamat, Mokhtar Lamata bin Ibrahim, Muhamad Mukmin bin Muhamad Zamri, Muhammad Adham bin Suhaimi, Muhammad Alif Faiq bin Muhammad Hisham, Muhammad Azreen Syahmi bin Rosman, Muhammad Danial bin Kauzi, Muhammad Daniel Asyraaf bin Mohd Ahiar, Muhammad Fahrin Aiman bin Alias, Muhammad Faiz bin Mansor, Muhammad Faiz Iskandar bin Azri, Muhammad Faris bin Premnasir, Muhammad Ferhad bin Premnasir, Muhammad Hafis bin Che Wan Naman, Muhammad Harith Irfan bin Shaifulbakhtiar, Muhammad Raziq Adnan bin Rizal Adnan, Muhammad Syakir bin Rosman, Nur Irfan Iman bin Juma’in, Wan Amirul Aizzat bin Wan Mohd Fatah Auni dan Wan Muhammad Ashraff bin Wan Zaki.
Kejohanan ini bakal menjadi medan penting buat USM Minden Tiger menguji kemampuan serta keserasian pasukan selepas melalui siri persiapan dan latihan. Persaingan di peringkat Divisyen 2 pastinya menuntut tahap kecergasan, disiplin taktikal dan mentaliti yang tinggi daripada setiap pemain.
Dengan UiTM Kampus Arau menjadi pentas perjuangan, USM Minden Tiger berharap dapat memberikan persembahan terbaik dan mencipta keputusan positif sepanjang kejohanan ini berlangsung.
24/01/2022
[SESI PEMILIHAN PEMAIN (FASA DUA) BAGI MEWAKILI PASUKAN BOLA SEPAK MINDEN TIGER]
Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Satu sesi pemilihan fasa kedua pemain bola sepak bagi mewakili Universiti Sains Malaysia akan diadakan seperti ketetapan berikut:
Tarikh: 26 dan 27 Januari 2022
Masa: 5.00ptg-7.00ptg
Tempat: Stadium Olahraga USM
Sesi pemilihan ini terbuka kepada mana-mana pelajar USM sepenuh masa yg berada di kampus Induk pada masa ini. Pasukan USM Minden Tiger merupakan pasukan elit universiti yang sudah beraksi 7 musim dalam saingan Liga IPT Divisyen 1. Menjadi satu kebanggaan buat para pemain yang terpilih bagi mewakili Universiti Sains Malaysia yang tercinta ini.
Para pelajar yang berminat boleh isi maklumat diri dalam link berikut untuk tujuan rekod pihak kejurulatihan:-
https://docs.google.com/forms/d/e/1FAIpQLScANAYqrTV36qqZkDzIGUzGYLr0mfBpKClLpoarLvDBnIqEAg/viewform
20/01/2022
Another tough match for our boys! Game on 🔥