29/10/2025
FRIENDLY GAME
VACC VS WFC
Perlawanan persahabatan kali ini diadakan bagi memperkukuh stamina para ahli, mengeratkan silaturrahim sesama warga Kelab VACC, serta memperkasakan semangat berpasukan yang menjadi tunjang kekuatan kita.
Setiap peluh yang menitis adalah bukti usaha menjaga kesihatan, setiap senyuman dan gurauan di padang menjadi tanda eratnya persaudaraan. Inilah semangat sukan yang ingin kita terus hidupkan semangat yang menyatukan, bukan memisahkan.
Terima kasih kepada semua yang hadir dan memberi sokongan. Semoga aktiviti seperti ini menjadi budaya sihat dan terus memperkukuh Kelab VACC.
25/10/2025
VACC kembali beraksi dalam perlawanan persahabatan petang ini selepas berehat seketika usai menyertai Kejohanan Piala Parlimen Pasir Puteh. Para pemain kini berada dalam kondisi terbaik dan bersemangat untuk turun ke padang.
28/09/2025
Selamat Hari Keputeraan Sultan Kelantan 2025 .
Dengan penuh takzim, pihak Kelab Bola Sepak VACC merafak sembah setinggi-tinggi tahniah serta ucapan Selamat Menyambut Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V, Sultan dan Yang Dipertuan bagi Negeri Kelantan Darul Naim.
Semoga Allah SWT lanjutkan usia Tuanku dengan penuh keberkatan, dikurniakan kesihatan yang baik, keimanan yang kukuh serta kebijaksanaan dalam memimpin negeri Kelantan terus maju, aman dan sejahtera di bawah naungan Tuanku.
Di kesempatan ini juga, pihak kelab merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua ahli Kelab Bola Sepak VACC yang sentiasa memberikan sokongan, semangat juang dan komitmen dalam memartabatkan kelab ini. Semoga kita semua terus bersatu hati, memperkukuhkan ukhuwah serta melangkah lebih jauh dengan kejayaan yang membanggakan pada masa hadapan.
Daulat Tuanku.
20/09/2025
Pasukan kami dengan sukacitanya mengumumkan penyertaan dalam Kejohanan Bola Sepak Veteran Piala Ahli Parlimen Pasir Puteh 2025 yang akan berlangsung pada 18 Oktober 2025 di Padang Majlis Daerah Pasir Puteh.
Persiapan sedang giat dilakukan, dan pasukan bakal diperkuatkan dengan pemain-pemain berbakat yang mematuhi syarat penyertaan bagi memberikan cabaran terbaik kepada pasukan lain.
Setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih diucapkan kepada Dewan Pemuda PAS Kawasan Pasir Puteh atas penganjuran kejohanan yang bukan sahaja menyemarakkan semangat kesukanan, malah mempereratkan ukhuwah sesama warga setempat.